Mama Masscomm: Etika di Media Sosial





Beretika di Media Sosial.

Oleh: Hariyati Ariffin
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.

Sejak terciptanya media sosial dan telefon pintar, isu adab, budibahasa dan lunturnya pekerti mulia dalam kalangan masyarakat kita menjadi perhatian dan perbincangan umum. Kerakusan manusia menyerlahkan sikap kurang ajar dimedia social dengan menulis mengikut emosi serta memviralkan sesuatu isu sehingga menjatuhkan maruah seseorang, telah dianggap budaya baru dalam dunia siber. Golongan muda sering didakwa kurang berhemah dan tidak beradap apabila menggunakan media social. Mereka dikatakan terlalu ikutkan perasaan dan mudah melemparkan tuduhan tidak berasas di media social.

Namun disebalik sikap generasi muda yang sering dikatakan terlalu emosi di media social, tidak dinafikan , golongan tua dan lama juga tidak terkecuali turut menyumbang pada sikap kurang berbudi bahasa apabila menulis dan memberi komen di media social. Mungkin golongan tua tidak begitu ketara kerana bilangan mereka yang menggunakan media social tidak seramai generasi muda masa kini. Namun kepimpinan melalui teladan dan jika yang tua juga tidak `reti bahasa’ apatah lagi anak-anak muda yang sememangnya menjadi budaya mereka yang dikatakan `hipster’ jika boleh membuat sesuatu yang diluar norma kehidupan.  

Isu terkini yang menjadi viral dimedia social ialah mengenai teguran seorang Icon Wanita kepada usahawan muda yang menjalankan perniagaan diatas talian atau alam siber agar lebih berhemah ketika membalas watsup atau mesej bersama pelanggan. Teguran ini satu yang sangat positif dan boleh membantu membina rangkaian hubungan komunikasi yang baik antara mereka dan pelanggan. Ia ibarat nasihat seorang Ibu kepada anak anaknya. Namun ramai yang tidak bersetuju apabila Icon wanita ini mengutarakan pendapatnya dalam media social mengenai penggunaan bahasa yang bersesuaian ketika berurusan dalam talian. Lebih menyedihkan ramai yang salah tafsir maksud dan niat baik icon wanita ini.

Dalam isu ini melalui pemahaman dan tafsiran yang sangat negative mereka dialam siber dengan sewenang wenangnya telah menghambur kata kata kurang manis serta cacian di media social kepada icon wanita ini. Isu ini sebenarnya sangat kecil dan hanya secebis teguran buat mereka yang berurusan dalam talian agar menggunakan panggilan yang berhemah untuk urusan perniagaan. Ia sesuatu yang baik jika dilihat dari sudut positif. Namun kerana kurang faham dan tidak memahami maksud sebenar teguran itu, isu ini  menjadi viral kerana salah tafsir terhadap icon wanita ini yang dikatakan riak dengan kedudukan dan status diri nya sebagai Dr.

Sebagai orang yang sudah berusia penulis juga kurang bersetuju dengan panggilan awak yang digunakan ketika berinteraksi dalam talian atau dalam media sosial. Dalam masyarakat Melayu kita ada adap tertentu untuk panggilan pada seseorang. Budaya kita mengajar kita berbudibahasa dan menggunakan panggilan tertentu untuk orang-orang yang lebih tua atau yang ada pangkat dan kedudukan dalam masyarakat. Malah disekolah kita juga diajar megenai tatabahasa menggunakan gantinama diri pertama, kedua dan sebagainya dalam komunikasi seharian kita. Ini semua bagi mewujudkan  keharmonian hidup bermasyarakat dan sikap saling hormat menghormati antara generasi baru dan lama.  

Jelas sekali cara seseorang memulakan komunikasi melalui siber dapat menentukan sikap dan peribadinya serta ilmu dalam dirinya. Pemahaman tentang satu isu dan mesej yang disampaikan terletak pada cara kita di didik dan ilmu yang kita ada. Adakah kita suka jika seseoranng yang mahu berurusan dengan kita diatas talian terus menerus menceritakan tentang produk atau niat mereka tanpa ada mukadimah pengenalan diri dan sebagainya. Kita pasti terpinga pinga mengapa orang ini tidak ada adap atau tak ada bahasa.

Disebabkan sikap dan tidak bijak menggunakan komunikasi atas talian dia mungkin kehilangan pelanggan. Begitu juga jika kita  tidak mengenali seseorang adakah kita terus akan berinteraksi dengan dia dengan panggilan awak ,engkau,  aku dan sebagainya.  Penggunaan bahasa yang sesuai dan professional ketika berkomunikasi dengan pelanggan melalui alam siber akan membina rangkaian perhubungan yang baik serta memberi keyakinan kepada pelanggan untuk terus berurusan dengan mereka. Belajar lah berkomunikasi dengan betul kerana komunikasi juga merupakan factor kejayaan seseorang dalam bidang perniagaan dan kehidupan secara umumnya.

Kesimpulannya menulis di media social juga perlu ada adab dan peraturannya. Kita tidak boleh `pukul rata’ atau anggap semua orang boleh menerima cara kita bila menulis atau menghantar mesej wats up. Generasi zaman ini menganggap,  komunikasi melalui siber tidak perlu menitik beratkan budibahasa dan adap sopan kerana mereka tidak kenal siapa yang sedang berurusan dengan mereka.  Ianya umpama budaya “ hipster” yang di terima pakai dalam zaman ini. Budaya yang Nampak pelik tapi diikuti dan oleh ramai orang. Namun komunikasi sangat berbeza, ia bukan seperti budaya global yang lain yang boleh diterima pakai oleh semua orang di dunia. Cara kita dan cara orang barat berkomunikasi sangat berbeza. Kita masih menjunjung adap dan budibahasa yang menjadi panduan dan pegangan hidup kita walau dialam siber.

 Justru belajarlah cara berkomunikasi yang betul walaupun di alam siber.  Ia bukan sahaja menyerlahkan peribadi mulia kita, tetapi juga satu cara menarik minat pelanggan untuk berurusan dengan kita. Jika dialam nyata kita suka bila berkomunikasi secara interpersonal dengan orang yang ada budibahasa, baik tuturkatanya dan bersopan santun,  ia sebenarnya tidak banyak bezanya dialam maya.  Penggunaan bahasa atau ayat yang betul dapat membentuk satu komunikasi yang harmoni dalam alam siber. Teknologi telah banyak memudahkan manusia tetapi manusia yang adakalanya menyalahgunakan teknologi sehingga membawa padah dalam hidup mereka. 

Tamat


Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram