Mama Masscomm: Hormati yang Tua, Sayangi yang Muda


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------

Sikap saling menghormati bukan sahaja diamalkan dalam kalangan bangsa kita Melayu. Malah bangsa lain seperti Jepun, Korea dan banyak lagi bangsa di dunia yang amat mementingkan rasa hormat-menghormati dan saling memahami antara satu sama lain. Saya percaya apabila kita menjaga adab dan nilai murni serta saling menghormati antara satu sama lain, keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dapat dijaga. Kehidupan dalam masyarakat lebih teratur dan mudah untuk berinteraksi antara satu sama lain.

Apapun, sejak dulu lagi, generasi muda dan generasi lama sering berbalah dan berselisih pendapat mengenai banyak perkara dalam kehidupan. Jika di zaman saya dulu, ibu dan ayah saya paling tidak gemar kepada fesyen dan gaya remaja masa dulu iaitu pakaian ketat dan seluar bellbottom serta rambut afro yang menjadi kegilaan fesyen ketika itu. Hari ini sebagai orang tua, saya pula agak kurang senang dengan muzik zaman sekarang yang lantang terjerit-jerit dan gaya hidup generasi muda yang terlalu ambil ringkas banyak perkara dalam hidup dan tidak ambil kisah perkara yang berlaku di persekitaran mereka.

Umpamanya mereka tidak suka bercakap secara `face to face’ tetapi lebih gemar menghantar mesej di aplikasi moden seperi WhatsApp dan Facebook Messenger. Cara bercakap dengan orang yang lebih tua daripada mereka pun, sudah kurang adabnya. Begitu juga dalam kehidupan seharian, di mana generasi sekarang kurang gemar bangun pagi dan suka menyendiri melayan gajet mereka. Namun di sebalik sifat umum generasi sekarang, tidak semua antara mereka kurang beradab dan berbudi bahasa. Ada yang masih baik budi pekertinya dan membuatkan sesiapa sahaja senang dengan mereka.

PELAJAR MASSCOMM TEBAL BUDI BAHASA

Sebagai pensyarah, apa yang masih boleh dibanggakan ialah sikap pelajar saya (dari Masscomm) yang masih tebal dengan budi bahasa apabila bertemu saya. Mereka masih tidak lupa bersalam dan memberi senyuman apabila bertembung dengan saya di fakulti mahupun di perkarangan universiti. Sememangnya saya cukup menyenangi sikap mereka yang jika dilihat dari luaran sesetengah dari mereka kelihatan sombong tetapi apabila sudah mengenali mereka ternyata apa yang saya fikirkan tidak betul. Betul kata pepatah melayu, jangan menilai seseorang dari luarannya sahaja. 

Pelajar Masscomm sememangnya sinonim dengan gaya glamor dan penampilan dress to kill mereka. Namun keluhuran hati mereka tidak boleh diukur dari penampilan luaran mereka. Begitu juga pensyarah muda di fakulti, mereka turut mempunyai peribadi yang baik sebagai pendidik walau usia masih muda. Secara umum, generasi muda adalah pelapis dalam pelbagai kerjaya yang dipegang oleh generasi lama seperti saya.

PENSYARAH LAMA, PENSYARAH MUDA

Dalam bidang pendidikan umpamanya, menjadi pensyarah adalah impian ramai pelajar. Pasti ramai  menanam cita-cita untuk menjadi pensyarah dan berazam untuk menjadi pendidik terbaik. Sehubungan itu apabila anda telah dipilih untuk menjadi pensyarah, perkara yang penting ialah menghormati pensyarah lama, walau ketika anda belajar dulu, pensyarah berkenaan bukan pensyarah kesayangan atau pilihan anda. Seperti kata pepatah “ yang tua dihormati yang muda disayangi”. Justeru pensyarah muda perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajarnya bukan saja dari segi pertuturan seharian dan akhlak yang mulia tetapi juga `attitude ‘ yang baik yang boleh dicontohi oleh pelajar.

Pada pendapat saya jika anda berumur 28 tahun dan menjadi pensyarah sudah semestinya pelajar lebih mudah mendekati anda daripada pensyarah tua seperti saya. Ini mungkin kerana persamaan pendapat dan ideologi orang muda yang memungkinkan mereka boleh menjalani proses pembelajaran dengan mudah. Menjadi pensyarah perlu ada 'passion' atau minat mendalam. Bukan sekadar mengajar sahaja tetapi berkongsi segala maklumat dan menyebarkan ilmu serta menerapkan nilai murni dan akhlak pada pelajarnya.

Bagi orang lama seperti saya, jika ada bekas pelajar menjadi rakan setugas, sayalah orang yang sangat berbangga dengan mereka. Saya bersedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi pengalaman mengajar kepada mereka. Namun biasanya pensyarah muda ini lebih bijak dari orang lama, khususnya dalam teknologi terkini. Oleh itu, mereka ini perlu banyak bersabar dengan orang lama seperti saya yang masih terkial-kial dalam mempelajari sesuatu yang baharu di usia emas ini dan membantu mereka menjadi sebahagian dari warga celik IT. Ingatlah bahawa menjadi pensyarah adalah satu kerjaya yang sangat mulia dan memerlukan ketabahan dan kesabaran dalam menanggani banyak perkara dalam proses penyampaian ilmu.

PAMER PERIBADI MULIA

Akhir kata nasihat saya kepada semua generasi muda, tidak kira pensyarah atau pun pelajar, hormatilah orang yang lebih tua daripada anda. Pamerkan peribadi mulia yang disenangi oleh semua orang. Jika anda kurang senang dengan orang yang lebih tua daripada anda, jangan mempamerkan sikap kurang ajar sebaliknya sentiasa bersabar dan memperlihatkan kemuliaan budi bahasa anda.

Adakalanya orang tua egonya tinggi tetapi belum tentu mereka itu bagus pekertinya seperti orang muda. Ingat pepatah ini “Kecil jangan disangka anak besar jangan disangka bapa”. Kematangan dan keluhuran budi dan akhlak seseorang tidak pernah diukur menerusi usia mereka sebaliknya dilihat daripada peribadi mulia seseorang. Amalkan peribadi mulia dan nilai murni kerana dengan akhlak yang baik itu anda akan sentiasa diingati dan dihormati.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram