Mama Masscomm: Pelajar Masscomm Tiada Sahsiah Rupa Diri?

OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------

Seorang kakitangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertanya saya "Puan, sekarang Masscom tak kuatkuasakan sahsiah rupa diri pelajarkah, terutamanya pelajar perempuan?" Saya yang cuba membela pelajar saya memberitahu kakitangan berkenaan dengan yakin "Taklah kami di Masscom memang kuatkuasakan sahsiah rupa diri, pelajar Masscom memang ikut sahsiah rupa diri UiTM, tapi kadang-kadang apabila sudah beramai-ramai adalah seorang dua yang terlepas."

Menurut staf ini beliau sering melihat pelajar Masscom berambut `karat’, berpakaian jarang, ketat dan ada juga yang berbaju lengan pendek ke kuliah. Itu belum dikira dengan akhlak yang dikatakan kurang baik. Sekali lagi saya membela pelajar saya dengan memberitahu, mungkin itu pelajar luar kampus kerana biasanya mereka yang sudah bekerja kurang diberikan pendedahan mengenai sahsiah rupa diri ketika belajar, maklumlah mereka orang luar.

Namun sebenarnya memang ada segelintir pelajar sepenuh masa Masscom yang sudah tidak mahu ikut peraturan dan sahsiah rupa diri yang ditetapkan UiTM. Kata mereka, jika berpakaian 'skema' mereka tidak kelihatan seperti pelajar Masscomm, kerana bagi mereka masuk Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media atau nama glamornya Masscomm adalah untuk mengejar glamor dan  menarik perhatian umum.

Sebenarnya ibarat kata pepatah “sebab nila setitik rosak susu sebelanga”. Segelintir kaum minoriti yang yang degil inilah yang tidak mahu ikut peraturan UiTM seterusnya telah membawa nama buruk untuk keseluruhan Fakulti Masscomm. Bagi saya sebagai pensyarah di fakulti ini, masih ramai pelajar yang berpakaian ikut sahsiah rupa diri dan bersopan. Juga masih ramai pelajar Masscomm yang sentiasa ayu dengan baju kurung dan bertudung paras dada serta pelajar lelaki yang sentiasa kemas ke kuliah. Namun apabila mereka yang degil ini berkeras tidak mahu mematuhi peraturan universiti, mereka ini dikira sebagai 'trend setter' bagi pelajar lain yang merasakan jika dia boleh berbuat begitu mengapa mereka tidak?

Berdasarkan itu, ada pelajar yang mula terpengaruh dengan cara berpakaian yang tidak mematuhi etika berpakaian di UiTM. Mereka mahu merasakan diri lebih glamor jika berpakaian mengikut trend artis dan fesyen terkini. Sedangkan, hakikatnya, mereka sedang belajar dan tertakluk di bawah undang-undang sebagai pelajar UiTM. Bagi saya jika mahu berpakaian sebegitu, biarlah di luar lingkungan kawasan universiti dan bukan waktu ke kuliah.

Memang benar ada yang berkata, pakaian tidak mencerminkan peribadi seseorang. Namun perlu diingat peraturan tetap peraturan. Jika anda ingat berfesyen seperti bertindik hidung dan kening serta lidah, buatlah di luar waktu kuliah. Anda tidak perlu berbangga dengan bertindik di hidung atau di kening seperti seekor binatang.

Akhlak juga sangat penting bagi mahasiswa dan mahasiswi kerana mereka ini tergolong dalam golongan orang yang pandai dan dipandang mulia oleh masyarakat. Sikap menyombong dan tidak mahu menyapa rakan seuniversiti atau pun pensyarah adalah akhlak yang kurang baik. Selalu saya nasihatkan pelajar, jadilah pelajar universiti yang berilmu dan berakhlak. Kerana ilmu dan akhlak harus datang seiring sebagai satu pakej untuk seorang pelajar universiti. Janganlah anda hanya bijak dalam pelajaran tetapi kurang dari segi akhlak dan akhirnya memalukan nama universiti.

Natijahnya menjadi pelajar universiti bukanlah untuk dibangga-banggakan tetapi sebaliknya mereka perlu ada ilmu yang membuatkan mereka dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mereka ini adalah aset Negara. Anda adalah masa depan yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan sebuah negara bangsa. Semoga semua yang bergelar mahasiswa dan mahasiswi tahu dan sedar matlamat mereka belajar di universiti dan sentiasalah memperbaiki akhlak dan peribadi seiring dengan ilmu yang dimiliki.

Unknown

1 comment:

  1. Top No Deposit Bonus Casinos in India
    Best No Deposit Casino Bonuses in India · 1. Spin Casino – Play 올레 벳 with a 장원도메인 Bitcoin & Real 백 스트레이트 Money Welcome Bonus · 2. Lucky 인생도박 15 Casino 카 심바 – Play For Free.

    ReplyDelete

Instagram