Mama Masscomm: Media Sosial Hakis Nilai Murni


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------

Teknologi telah mencipta pelbagai cara untuk manusia berinteraksi, berurusan dan berhubung dengan mudah tanpa perlu bertemu. Ia memudahkan urusan seharian manusia. Dengan satu klik saja kita sudah boleh menghubungi mereka yang berada di satu sudut dunia atau di negara lain. Semuanya dengan keajaiban di hujung jari. Dengan media sosial juga lautan luas dan gunung-ganang bukan lagi pemisah untuk manusia berinteraksi dan berkomunikasi. Menyampaikan mesej dan maklumat serta bertanya khabar semakin mudah. Semuanya ini kerana kewujudan media social seperti Facebook, Twitter, Instagram dan WhatsApp yang menjadi  medium menghubungkan mereka yang jauh dan merapatkan hubungan melalui alam maya.

Namun kewujudan media sosial sejak akhir-akhir ini dikaitkan dengan pelbagai konflik dan masalah dalam komunikasi yang menjadikan perhubungan manusia menjadi tidak harmoni. Media sosial mengajar generasi masa kini kurang beradab dan kurang peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Media sosial juga sering dikatakan sebagai punca perselisihan faham antara keluarga, persengketaan dalam masyarakat, keretakan rumahtangga, salah tafsir yang mengakibatkan permusuhan, penyebaran maklumat palsu dan pelbagai lagi. Melihat situasi yang terjadi masa kini adakah media sosial ini masih relevan sebagai alat mengeratkan hubungan atau sebaliknya?

Tidak dinafikan media sosial adalah gaya hidup masa kini. Media sosial juga dicipta untuk memudahkan kehidupan manusia. Namun sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia menyalahgunakan sesuatu kemudahan yang dicipta dan diwujudkan. Sejak akhir-akhir ini, media sosial lebih menonjolkan ciri negatif berbanding positif. Walaupun pada mulanya ia dicipta untuk  mengeratkan hubungan manusia dan memudahkan komunikasi, namun kini ia mula menjadi ancaman kepada keharmonian manusia. Ramai yang bersengketa melalui media sosial sehingga mengakibatkan terputusnya silaturahim selain menjadikan rumahtangga turut goyah. Penggunaan bahasa kasar dan kurang sopan juga begitu berleluasa sehingga menenggelamkan nilai murni dalam masyarakat.

WhatsApp umpamanya, menjadi wadah komunikasi persahabatan dan kekeluargaan. Dalam grup WhatsApp akan ada mereka yang 'celupar' lantas menyakitkan hati kawan-kawan atau ahli kumpulan sehingga melonggarkan ikatan persahabatan dan persaudaraan. WhatsApp, Facebook, Twitter mahupun Instagram menjadi wadah menabur fitnah, menjatuhkan orang lain dan tempat membuang masa. Adakalanya kerana terlalu taksub berborak di WhatsApp, dan bersosial melaluinya, banyak perkara tanggungjawab tergendala. Produktiviti menjadi menurun. Hidup menjadi lebih bersifat individualistik dan tidak mahu bergerak. Komunikasi interpersonal semakin dilupakan. Disebabkan itu, ramai mula menolak adab sopan, budi bahasa dan nilai murni dalam masyarakat kerana mereka hanya berinteraksi secara maya dan tidak bersemuka.

Apabila ini terjadi media sosial tidak harus dipersalahkan kerana ianya adalah satu alat ciptaan manusia sedangkan yang mengawal dan menggunakan media sosial adalah manusia. Kerakusan manusia dalam menggunakan media sscial untuk mencipta keburukan telah menutup banyak kebaikan yang dibawa oleh media sosial. Sebagai manusia kita mempunyai pilihan untuk menggunakan media sosial secara bermanfaat atau sebaliknya. Namun lebih ketara media sosial digunakan untuk sesuatu yang tidak berfaedah dan boleh membawa pada persengketaan. Apa pun pilihan ditangan kita. 

Secara kesimpulannya, media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan berdasarkan cara bagaimana ia digunakan. Kita diberi akal untuk berfikir atas tindakan kita. Justeru, gunakanlah media sosial dengan baik,  sebagai wadah penghubung kepada yang jauh dan mengeratkan silaturahim. Ia telah banyak membantu kita menjimatkan masa dan dapat bersama mereka yang jauh juga sebagai alat memudahkan kerja dan urusan tanpa perlu bertemu. Namun mengapa mesti memilih untuk menggunakannya sebagai satu medium yang banyak mencipta keburukan. Justeru, sama-samalah kita mewujudkan lebih banyak kebaikan dalam media sosial supaya kita dapat memanfaatkan kebaikannya selaras dengan kecanggihan penciptaannya sebagai sesuatu yang memudahkan manusia untuk berhubung dan bukan sesuatu senjata untuk menjatuhkan orang lain serta mencipta kebencian dan persengketaan.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram