Mama Masscomm: Menghadapi Minggu Akhir dengan Tenang



OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
------------------------------------------------------------------------------------------
Apabila peperiksaan akhir semester datang lagi, pelajar akan berasa sangat tertekan dengan silibus yang akan dibaca dan dihafal untuk peperiksaan serta menghabiskan `on going’ assignment yang diberi oleh pensyarah. Sebenarnya, anda tidak perlu berasa terlalu risau dengan peperiksaan akhir kerana dalam sistem universiti, anda telah pun membuat kerja kursus yang membawa markah yang banyak untuk satu satu subjek yang anda ambil.

Biasanya markah peperiksaan akhir hanyalah antara 20 ke 40 markah sahaja. Sedangkan kerja kursus dan tugasan sepanjang semester anda sebanyak 60 ke 80 markah. Jika diawal semester anda telah mengatur dan mengurus masa anda dengan baik, insyaAllah di hujung semester anda tidak terlalu terkejar-kejar untuk menyiapkan tugasan di saat akhir tarikh penghantaran. Bagaimanapun sudah menjadi lumrah atau sesuatu yang biasa bagi pelajar berhadapan dengan situasi genting di mana terpaksa bergelut dengan timbunan tugasan dan kelas ganti dihujung semester. 

Malah tidak dinafikan, ramai pelajar tidak cukup tidur pada akhir semester kerana menyiapkan kerja kursus yang diberi oleh pensyarah dan kerja-kerja yang perlu diselesaikan menjelang peperiksaan akhir. Akibat terlalu stres dan terlalu banyak kerja, ada pelajar yang jatuh sakit dan apabila hari peperiksaan tiba mereka tidak dapat mengambilnya. Ini suatu kerugian yang besar! Berikut adalah nasihat dan cara mengatasi tekanan menghadapi peperiksaan akhir semester.
  1. Masa sangat penting. Oleh itu jika anda bijak mengurus masa, anda tidak akan terlalu tertekan dan terbeban dengan tugasan dan peperiksaan akhir semester.
  2. Jika terpaksa membuat tugasan-tugasan di saat akhir kerana masalah-masalah tertentu, pastikan anda tidur sekurang-kurangnya 4 atau 5 jam sehari atau paling sikit 3 jam. Bermakna walau macam mana banyak pun tugasan anda, waktu rehat perlu ada dalam diri. 
  3. Buat mana yang termampu, jangan memaksa diri kerana bila terlalu memaksa diri pada saat akhir penyerahan tugasan anda akan membuatkan fikiran berkecamuk dan tidak tenteram dan boleh menyebabkan kecederaan minda. 
  4. Bincang dengan pensyarah untuk menambah masa jika anda benar-benar tidak dapat menghabiskan tugasan yang diberi. Jika pensyarah baik  hati  mungkin anda akan diberi peluang, jika sebaliknya anda mesti redha dan belajar dari kesilapan diri.
  5. Anda mestilah makan dan jangan membiarkan perut kosong akibat terlalu sibuk dengan tugasan dan menghafal dan membaca buku untuk peperiksaan. Makanan sangat penting untuk menjaga kesihatan fizikal dan minda kita.
  6. Jika anda sudah berusaha tetapi banyak rintangan dan dugaan menjelang peperiksaan akhir anda perlu redha dan bertenang. Jangan terlalu paksa diri sehingga menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. 
  7. Akhir sekali berdoa kepada Allah untuk mempermudahkan urusan anda dan memberi kejayaan kepada anda dan jangan lupa minta restu ayah ibu dan keluarga.
Kesimpulannya, menjadi pelajar universiti memang tidak mudah. Namun anda perlu bijak mengurus masa diawal semester supaya anda dapat menghabiskan tugasan dan boleh menyiapkan diri untuk peperiksaan akhir dengan tenang. Tekanan dan kerja yang bertimbun di hujung semester adalah perkara biasa bagi seorang pelajar universiti. Ini semua adalah asam garam kehidupan pelajar, tidak kira di peringkat universiti mahupun sekolah.

Harus diingat, setiap individu ada kemampuan diri masing-masing. Kita ada kekuatan dan kelemahan diri masing masing. Jika anda sudah berusaha tapi sampai hadnya dimana anda tidak mampu lagi meneruskan usaha anda, buatlah sekadar termampu dan tidak terlalu memaksa dan menyeksa diri. Insya Allah dihujung setiap usaha dan kerja keras kita akan ada ganjaran yang Allah beri. Jika sudah tidak berdaya untuk meneruskan membuat tugasan,  sentiasa berdoa pada Allah memudahkan segalanya buat anda.

Sekali lagi dinasihatkan pada anda jangan memaksa diri sehingga boleh membuat anda jatuh sakit dan terlalu tertekan. Rasa tertekan dan bimbang boleh membawa kepada kemurungan dan ia juga boleh merosakkan sistem dalam badan kita. Justeru, buat mana yang termampu dan selebihnya berserah kepada Allah. Selamat menghabiskan tugasan dan menghadapi peperiksaan akhir semester.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram