Mama Masscomm: Amalkan Adab Baik di dalam Kelas


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------
Cerdik pandai dan ilmuan Islam Luqman Al Hakim pernah berkata, "ilmu tanpa restu guru ibarat si pejuang tanpa senjata.” Kata-kata ini boleh difahamkan bahawasanya perlu untuk kita menghormati guru sama seperti menghormati ibubapa kita. Guru dan pendidik memainkan peranan penting mencorak diri anak murid mereka menjadi orang yang berguna. Justeru, mengamalkan adab yang baik di dalam bilik darjah atau kelas adalah satu cara menghormati guru dan pendidik. 

Menjadi pelajar universiti tanpa adab dan akhlak yang mulia ibarat sebuah rumah yang tidak siap dibina. Sejak kebelakangan ini, kita sering mendengar rungutan pendidik mengenai anak murid mereka yang kurang menghormati guru dan kurang mengamalkan nilai-nilai mulia. Paling mudah ialah bersalaman dan memberi senyuman. Malang sekali, perkara kecil seperti itulah yang sukar dilakukan oleh pelajar. Malah, adakalanya apabila berlanggar bahu dengan pensyarah pun mereka buat tidak tahu. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawasanya hal ini berlaku kerana mereka terlalu taksub dengan telefon pintar dan fon kepala (headphone) yang dilekatkan di telinga sehingga tidak sedar dengan orang sekeliling. 

Adab dan sopan adalah  budaya masyarakat kita, namun ia semakin terhakis ditelan zaman dan seolah-olah sudah tidak ada kepentingan dalam masyarakat masa kini. Menghormati pensyarah seperti bersalaman, menegur dan bertegur sapa sudah kurang dipraktikkan di universiti. Ramai pelajar hidup dalam dunia mereka sendiri dan sudah kurang berinteraksi kerana dunia mereka sekarang ada di dalam dunia maya dan siber. 

Menyentuh mengenai adab dan sopan dalam kelas, banyak perkara yang dianggap remeh oleh pelajar sebenarnya adalah adab dan sopan dalam masyarakat kita. Berikut digariskan beberapa adab dan sopan serta nilai murni ketika berada dalam kelas.
 
  1. Datang lebih awal daripada pensyarah dan tunggu pensyarah masuk ke kelas.
  2. Cari tempat duduk dan bersedia untuk memulakan kuliah.
  3. Mengucapkan salam pada pensyarah ketika beliau masuk kelas.
  4. Sediakan buku dan bahan nota untuk pelajaran berkenaan. 
  5. Meminta izin untuk keluar jika hendak ke tandas atau menjawab panggilan telefon yang penting.
  6. Ketika di dalam kelas, jangan berbuat bising terutamanya ketika pensyarah sedang mengajar.
  7. Jika ada keperluan, keraguan atau pertanyaan, angkat tangan untuk bertanya dan bukan bertanya pada rakan di sebelah anda.
  8. Tutup atau 'silent' phone anda ketika berada didalam kelas.
  9. Datang ke kuliah dengan pakaian yang bersesuaian dan mengikut sahsiah rupa diri.
  10. Apabila tamat kuliah, ucapkan terima kasih kepada pensyarah dan seeloknya jangan keluar sehingga pensyarah keluar terlebih dahulu. Apatah lagi, jangan berebut untuk keluar.

Apa yang digariskan di atas hanya sedikit adab yang perlu dipraktikkan untuk menjadi pelajar yang cemerlang di dalam menuntut ilmu dunia dan mempunyai akhlak yang baik serta mengamalkan nilai murni. Kembalikanlah kegemilangan adab sopan dan akhlak yang baik untuk hidup dalam suasana penuh keharmonian serta menjadi generasi masa depan yang cemerlang dan terbilang di mata dunia.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram