Mama Masscomm: Jangan Ambil Kesempatan


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------
 Anda mungkin biasa mendengar ungkapan ini, “Orang bodoh makanan orang pandai, orang baik mainan orang jahat”. Dalam kehidupan ini menjadi orang yang baik dan sentiasa memahami orang lain adakalanya memakan diri sendiri. Perangai manusia ini tidak sama, begitu juga perangai pelajar. Adakalanya pelajar lebih takut dan hormat pada pensyarah yang garang berbanding pensyarah yang baik dan penyabar. Ada segelintir pelajar boleh datang tepat pada waktunya apabila masuk kelas pensyarah yang garang tetapi sengaja datang lambat bila masuk kelas pensyarah yang baik.

Apabila dalam kuliah pensyarah yang garang, mereka sangat cergas, boleh menumpukan sepenuh perhatian dan sentiasa bekerjasama dengan pensyarah berkenaan sedangkan jika dengan pensyarah yang baik, mereka tanpa rasa segan membuat bising dalam kelas, tidak menghiraukan pensyarah yang sedang mengajar dan jarang menumpukan perhatian dalam kelas. Ada pelajar yang hanya mengenali pensyarah sewaktu pensyarah itu mengajar mereka sahaja. Apabila naik semester baharu, mereka lupa pada pensyarah berkenaan dan jika berselisih pun sukar untuk menyapa atau bertanya khabar. 

Begitu juga dalam hal menyelesaikan tugasan, apabila mereka tahu  pensyarah itu baik dan boleh berlebih kurang, mereka sengaja menghantar tugasan lambat. Sedangkan dengan pensyarah yang garang mereka sanggup menghantar tugasan awal sebab jika terlewat seminit tugasan mereka akan ditolak atau dibuang dalam tong sampah.

Apabila memperkatakan tentang sikap pelajar yang selalu mengambil kesempatan terhadap pensyarah yang baik, mereka ini telah berlaku tidak adil dengan pensyarah yang sentiasa memahami kesulitan mereka. Jika pensyarah itu boleh berkompromi mengapa pula pelajar sanggup mengambil kesempatan atas kebaikan pensyarah berkenaan.

Antara sebab mereka berbuat demikian kerana:
  1. Mereka tidak bijak mengurus masa. Selalu membuat tugasan di saat akhir. Tidak serius dalam pembelajaran

  2. Mereka adalah manusia yang tidak mempunyai akhlak yang baik dan tidak pandai mengenang budi dan  cuba 'menangguk di air yang keruh'.

  3. Mereka tidak mempunyai disiplin diri yang baik dan tidak menghormati pensyarah. 

  4. Mereka gagal memahami konsep menuntut ilmu dan hanya belajar kerana ingin mendapat sijil dan bukan menggunakan ilmu untuk memperbaiki diri.

  5. Hati mereka tidak bersih dan sikap buruk dalam diri mereka ini akan membentuk peribadi mereka apabila bekerja nanti. Apabila mereka bersikap pentingkan diri mereka akan menjadi sebahagian daripada manusia yang tidak disenangi dan sukar untuk bekerja dengan orang lain.
Justeru, untuk menjadi pelajar yang baik, bertanggungjawab dan cemerlang. Anda harus mengamalkan beberapa perkara dibawah:
  1. Sentiasa berdoa pada Allah untuk menjadikan anda seorang insan yang baik dan bertaqwa. Apabila berada di universiti, hendaklah menghormati guru dan pensyarah tidak kira dia itu garang atau sebaliknya.

  2. Berikan komitmen yang tinggi ketika belajar. Urus masa dengan bijak dan selalu datang awal ke kelas. Beri tumpuan pada pelajaran tidak kira samada anda suka atau tidak dengan cara pengajaran pensyarah berkenaan.

  3. Tunjukkan adab dan budi bahasa yang baik apabila berurusan dan berkomunikasi dengan pensyarah. Selalu bertanya dengan pensyarah dan sentiasa aktif dalam kelas supaya pensyarah ingat pada anda.

  4. Jangan korbankan masa atau kelas pensyarah yang baik untuk buat tugasan lain, semata  mata kerana bimbang pensyarah yang garang akan memarahi anda jika tugasan tidak selesai. Berani bertanggungjawab atas kesilapan diri. 

  5. Jangan terlalu ego. Selalu meminta maaf dengan pensyarah jika berlaku kesilapan atau salah faham. Terangkan pada beliau masalah anda dan bersikap jujur dan sentiasa bercakap benar. Ingat bahawa restu seorang pendidik sama seperti restu kedua-dua ibu bapa.
Sebagai kesimpulannya, jadilah pelajar yang bertanggungjawab dengan menghormati pensyarah tidak kira mereka itu garang atau penyabar. Sifat begini adalah satu sifat yang mulia dan sangat terpuji. Pelajar juga diminta untuk sentiasa bersabar dengan kerenah pensyarah kerana semua pensyarah secara fitrahnya baik, mereka mahu anda menjadi manusia yang berguna. Marah seorang pensyarah bererti memberi pengajaran dan mereka mahu anda semua menjadi insan-insan yang berilmu dan berakhlak serta dapat membanggakan ibubapa keluarga dan universiti.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram