Mama Masscomm: Bahasa Media Sosial Melambangkan Anda



OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------

Budaya Melayu sangat mementingkan adab dan bahasa yang baik. Tidak hairan pepatah Melayu banyak menyentuh mengenai kesantunan budi dan bahasa dalam kehidupan seharian masyarakatnya. Sejak kewujudan media sosial, gaya bahasa yang digunakan untuk berinteraksi di dunia siber agak kurang menyenangkan dan jelas mempamerkan bahasa yang kurang sopan. Budaya memaki hamun dan menulis perkataan kotor, mencarut, menggunakan bahasa kesat sangat berleluasa  di media sosial, terutamanya di Facebook, Twitter dan blog. Medium itu seolah-olah menjadi medan luahan perasaan marah, mengaibkan orang dan membuat pelbagai tohmahan dan tuduhan negatif, serta spekulasi liar kepada golongan tertentu. Cara seseorang memberi komen spontan terhadap sesuatu isu juga jelas menampakkan sikap tidak berfikir sebelum menulis. Jika bercakap ikut sedap mulut, menulis pula mereka ikut sedap tangan menaip apa saja yang terfikir ketika itu.

LAIN DARIPADA SANGKAAN DAN HARAPAN

Adakalanya apabila dilihat pada profil si penulis, mereka yang terlibat terdiri daripada golongan yang ada nama, berkedudukan baik di mata masyarakat dan terkenal. Ada juga gambar profil di media sosial tidak mencerminkan peribadi si pemiliknya. Gambar yang menampakkan mereka seorang yang sopan, beriman dan sangat lemah lembut, tapi amat memeranjatkan apabila mereka memberi komen, ternyata tidak seperti yang kita sangka dan harapkan. Selain itu tidak kurang juga mereka yang mempunyai latar belakang agama dan golongan pendidik yang menjadi tempat rujukan pelajar dan masyarakat mempamerkan peribadi yang kurang berakhlak apabila memberi komen di media sosial. Seperti kata ungkapan ini 'lain di luar lain di dalam'. 

Walaupun secara umumnya ada yang beranggapan kita tidak boleh menilai seseorang hanya melalui luaran samada perkataan yang ditulis mahupun apa yang diungkapkan melalui percakapan, namun  mereka dari bidang bahasa dan kajian psikologi melihat ada kaitan rapat antara penulisan dan percakapan dengan bahasa kurang berhemah yang digunakan. Malah pepatah Melayu sendiri ada mengatakan ‘bagaimana kuih begitulah acuannya’. Ini ada kaitannya dengan apa yang kita cakap dan tulis yang mempamerkan siapa diri kita yang sebenarnya atau peribadi si penulis.

Secara umum kita juga boleh mentafsirkan jika perkataan yang dituturkan baik, maka akan baiklah juga peribadinya. Islam juga mengajar umatnya bercakap baik dan sentiasa berhemah, ini kerana setiap apa yang kita ucapkan adalah sebuah doa. Malah berkata-kata dengan baik melalui percakapan mahupun penulisan adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam, sebagaimana firman Allah SWT “ …dan katakan kepada hamba-hambaKU (yang beriman) supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik…”

'PUBLIC SELF' DAN 'PRIVATE SELF'

Berdasarkan itu, mengapa agaknya mereka di media sosial mempamerkan peribadi sedemikian, yang lain diluar lain didalam? Pensyarah Psikologi di Jabatan Antropologi dan Sosiologi , Universiti Malaya Dr Mohd Awang Idris menjelaskan, bahawa dari sudut Psikologi, ini ada kaitan dengan konsep diri atau 'self'. Dua konsep diri dalam kehidupan manusia ialah `public self’ (bagaimana kita mahu orang lain melihat kita) dan `private self’ (apa yang sebenarnya ada dalam diri kita, cara kita fikir dan berkehendak). Apabila kita berjumpa orang, kita menggunakan public self untuk menyembunyikan perkara yang tak baik mengenai diri kita. Namun apabila kita  berada dalam `private self’ misalnya seorang diri di dalam bilik, kita mempamerkan peribadi sebenar kita, dan merasakan hanya kita seorang yang tahu apa kita buat. Umpamanya mereka yang pemalu menjadi peramah, mereka yang tidak tahu menyanyi boleh bernyanyi sendirian atau bercakap seorang diri. Itu semua adalah private self.

Dalam kaitan ini, Dr Mohd Awang Idris menjelaskan bahawa  ramai orang terlupa atau agak keliru apabila mereka berada di media social. Ini kerana interaksi media sosial biasanya dilakukan dalam keadaan berseorangan.  Ketika ini, ramai beranggapan mereka berada di `private self’ sedangkan media social sebenarnya adalah `public self ‘ dimana mereka berkongsi pelbagai maklumat dengan ramai orang di seluruh dunia. Dalam keadaan bersendirian, adakalanya mereka terlalu mengikut perasaan apabila menulis dan membuat posting atau komen di media social, sehingga mereka lupa bahawa di alam maya ini mereka diperhatikan oleh ramai orang.

Dari sudut bahasa pula Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam satu kertas kerjanya mengatakan “Bahasa yang kita gunakan dalam berkomunikasi mencerminkan diri kita. Gaya kita berbahasa bergantung rapat dengan bagaimana kita melihat diri kita sendiri, dan bagaimana kita membaca atau mempersepsi dunia dan penutur lain di sekeliling kita. Inilah yang dikatakan konsep diri kita. Apabila kita melihat diri kita sebagai seorang terpelajar, maka dengan sendirinya kita mengawal bahasa yang kita gunakan bagi mencerminkan citra diri kita. Bahasa dapat memperlihatkan sikap dan peribadi penutur dan penulisnya. Samada melalui penulisan mahupun pertuturan, bahasa yang baik mempamerkan peribadi yang baik, bahasa yang kasar dan kurang berhemah mempamerkan peribadi sebaliknya.

Natijahnya melalui apa yang dijelaskan dari sudut psikologi dan bahasa jelas sekali bahawa perkataan dan penulisan yang baik sememangnya ada kaitan dengan peribadi seseorang. Secara umum juga apa yang kita tulis dan cakap juga ada kaitan dengan rohani kita iaitu apa yang ada dalam jiwa dan sanubari kita. Sebenarnya perkataan yang baik melalui tulisan mahupun yang diungkapkan melalui percakapan boleh mendidik jiwa dan rohani kita kearah kebaikan dan keharmonian dalam interaksi social secara realiti mahupun di dalam talian secara maya. Apabila kita menulis perkataan yang baik, ia menjadi pendorong dan semangat kepada mereka yang membacanya, sebaliknya jika perkataan yang ditulis dengan penuh emosi dan sangat memalukan ia secara tidak langsung boleh menjatuhkan maruah orang yang menulis. Pepatah melayu ada mengatakan “terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya”.

Justeru, berhati-hati apabila kita memberi komen dan mengutarakan pendapat di media social, fikirkan perasaan orang lain. Berfikirlah sebelum menulis. Jangan ikut sedap tangan dan terlalu emosi apabila anda menulis. Ini kerana perkataan yang tidak baik yang boleh menghina, mengaibkan orang dan penuh dengan cacian dan makian akan kekal dalam bentuk penulisan dan boleh dilihat oleh ramai orang untuk tempoh waktu yang lama. Secara tidak langsung, anda juga akan dianggap seorang yang kurang bermaruah. Oleh yang demikian sejajarkanlah peribadi dan kerohanian kita melalui cara berkomunikasi samada penulisan dan percakapan.

Penggunaan bahasa yang baik dan bersopan dapat mempamerkan diri kita sebagai bangsa yang berpekerti tinggi dan berakhlak mulia. Sama-sama kita fikirkan kerana bahasa menunjukkan bangsa; apabila bahasa hilang nilai murninya, maka rosaklah bangsa.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram