Mama Masscomm: Jangan Jadi Tanggang Moden


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
-------------------------------------------------------------------

Ayah dan ibu adalah permulaan kita. Tanpa mereka kita tidak akan wujud di dunia ini. Setiap agama di dunia menyuruh kita memuliakan kedua-dua ibu bapa kita, tidak kira siapa mereka dan bagaimana  mereka melayani kita. Malah Islam sentiasa menganjurkan anak–anak untuk memuliakan ibubapa dan menjaga mereka dengan baik. Nabi juga pernah  bersabda bahawa 'redha ibu bapa adalah juga redha Allah'. Begitulah tingginya nilai dan martabat ibu bapa yang digariskan dalam Islam.

Namun tidak dinafikan, ada anak-anak yang membalas dendam pada kedua ibubapa kerana masa kecil, ibubapa tidak begitu mempedulikan mereka kerana kesibukan bekerja atau kerana tekanan hidup. Malah tidak terkecuali ada juga ibubapa yang sangat baik dan telah banyak berkorban untuk anak-anak tetapi hidup terabai dan terpaksa menghabiskan sisa hidup usia tua  mereka di rumah orang tua dan keseorangan.

Kisah-kisah begini banyak berlaku dalam kehidupan masa kini, di mana alasan tidak ada masa dan masalah ekonomi dikatakan menjadi sebab ramai anak-anak zaman sekarang menjadi Tanggang Moden yang menderhaka pada kedua ibu bapa mereka. Jika dulu, jarang sekali kita mendengar kes ahli keluarga saman-menyaman antara satu sama lain. Namun sejak memasuki alaf baru abad ke-20 ini kes seumpama itu mula menjadi budaya masyarakat kita. Kes anak saman bapa dan bapa saman anak serta kes saman antara sesama ahli keluarga yang lain turut dilaporkan di media arus perdana dan media sosial. 

HUKUM KARMA

Kes anak saman bapa yang dikategorikan sebagai Tanggang Moden ini seringkali membuka mata masyarakat bahawa kehidupan di zaman serba maju ini telah meragut kasih sayang dan menjadikan manusia tamak dan bersikap individualistik. Banyak faktor yang menyebabkan punca anak-anak menjadi tanggang moden atau menderhaka pada ibubapa. Antaranya kurang didikan agama, kekurangan wang atau kesempitan hidup, materialistik, kos sara hidup yang tinggi, kepincangan keluarga dan masalah sosial. Tersebut juga satu faktor berbentuk hukum karma dimana sewaktu kecil anak-anak diabaikan oleh ibubapa. Justeru, apabila mereka besar mereka membalas dendam.

Mengimbau kembali kes dalam tahun 2010 yang melibatkan seorang pensyarah universiti, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah. Dalam kes itu, Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban, telah memerintahkan beliau dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim juga memerintahkan pensyarah dan suaminya itu, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan bapa berkenaan dan ibunya yang masing-masing berusia 74 dan 66,  untuk membenarkan mereka tinggal sepanjang hayat di rumah mereka di Negeri Sembilan.

Perkara ini menjadi kes di Mahkamah Tinggi Syariah apabila pensyarah berkenaan didakwa memungkiri janji dan mengusir kedua ibubapanya dari rumah yang dipindah milik kepada beliau dan suaminya. Ayah pensyarah berkenaan memindah pemilikan tanah kepada anaknya itu selepas mereka (pensyarah dan suaminya) berjanji menanggung nafkah ibubapanya selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-duanya tinggal di rumah itu. Bagaimanapun pensyarah berkenaan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan ibubapanya.

KEMODENAN DORONG KEDERHAKAAN

Melalui kes yang dijadikan contoh, ternyata kehidupan moden dan terlalu bersifat materialistik mendorong anak-anak menderhaka pada ibubapa. Pendidikan yang tinggi dan status kehidupan yang baik belum tentu dapat menjamin mereka menjadi anak yang baik dan boleh menjaga kedua ibu bapa apabila tua. Lebih tinggi kedudukan dan pendapatan mereka adakalanya menyebabkan mereka semakin sibuk dan lalai dengan urusan dunia sehingga melupakan kedua ibu bapa.

Memetik syarahan Ustaz Kazim Ahmad dalam ceramahnya bertajuk Anak Derhaka, beliau ada menyebut,  pengorbanan ibu dan ayah tidak ada tolok bandingnya. Semasa kecil anak-anak dijaga dengan penuh kasih sayang oleh ibubapa, malah najis anak-anak juga dibasuh dengan tangan mereka sendiri tanpa rasa jijik. Namun apabila ibubapa sudah tua dan uzur serta tidak berdaya  ada dalam kalangan anak-anak yang mencuci najis ibubapa menggunakan plastik, kaki dan menggunakan penutup hidung. Ini menunjukkan  seolah-olah anak-anak terlampau jijik untuk menguruskan kedua-dua orang tua yang telah banyak berkorban untuk mereka. 

Disebabkan sikap anak-anak yang tidak sanggup berkorban untuk ibu bapa, pusat perlindungan orang tua dan rumah warga emas semakin banyak didirikan. Ini secara tidak langsung mencerminkan sikap kurang prihatin dan kurangnya nilai murni masyarakat kita khususnya anak-anak yang tidak sanggup menjaga kerenah ibubapa yang tua. Mereka lebih sanggup menghantar kedua-dua ibu bapa ke rumah orang tua bagi memudahkan hidup mereka. 

Zainuddin Ayip dalam artikelnya bertajuk Penangan si Tanggang Moden, Siapa yang Bersalah? yang ditulis dalam majalah Milenia Muslim menggariskan ciri-ciri tanggang moden. Antaranya,
  1. Enggan menjaga ibu bapa yang menghadapi masalah fizikal dan mental.

  2. Membalas dendam kerana sikap dan sejarah masa lampau ibu bapa.

  3. Enggan menjaga ibu bapa dengan alasan mempunyai tanggungan yang ramai.

  4. Mengambil barang kemas, wang dan harta benda ibu bapa.

  5.  Memaksa ibu bapa menukarkan nama harta kepada namanya. 

  6. Merajuk kerana tidak sependapat dengan ibu bapa sehingga mengabaikan mereka

  7.  Bertindak kasar seperti menengking, menampar, ugut dengan senjata. 

  8. Menyuruh ibu bapa menjaga cucu (anak-anak mereka)  meskipun mampu menghantar mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak

  9. Tidak memberikan wang untuk menyara kehidupan ibubapa. Biarkan ibubapa dalam kesempitan hidup.

  10. Menghambakan ibubapa seperti orang gaji untuk memasak, membasuh dan menguruskan rumahtangga mereka.
Oleh yang demikian jelas sekali bahawa fenomena Tanggang Moden mencerminkan kepincangan institusi kekeluargaan dan sifat kurang kasih sayang serta dasar materialistik masyarakat kita yang sudah menjadi sebahagian dari cara hidup masyarakat masa kini. Malah kajian Institut Kajian Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati,  warga emas yang berusia lebih 60 tahun ke atas bakal mencapai jumlah 2.2 juta orang menjelang tahun 2020. Pada masa yang sama jumlah anak derhaka juga dijangka bertambah. 

Tuntasnya  mungkin sesuatu boleh dilakukan untuk mengurangkan fenomena ini dari terus berleluasa. Masyarakat perlu kembali pada norma kehidupan yang lebih murni, menjaga kerukunan rumahtangga, mengeratkan silaturahim sesama ahli keluarga dan paling penting kembali ke jalan agama yang banyak memberi panduan dan ajaran dalam kehidupan serta menjamin ketenangan hidup. Ingatlah bahawa hidup ini satu putaran, jika kita berbuat baik kepada ibu bapa kita, insya Allah suatu hari nanti apabila tua, anak-anak pula akan berbuat baik kepada kita.

Unknown

No comments:

Post a Comment

Instagram