OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
-------------------------------------------------
Assalamualaikum
dan salam sejahtera kepada semua pelajar Masscomm yang sudi membaca
ruangan ini. Buat pengetahuan semua ruangan ini akan memuatkan nasihat
dan penulisan yang berbentuk motivasi dan nasihat dari Mama untuk semua
pelajar. Mama sangat berharap dengan sedikit ilmu yang dapat mama kongsi
disini akan menjadikan kita manusia yang lebih baik untuk diri kita dan
orang lain. Selamat membaca dan mama perlukan feed back anda. Jika
ada yang ingin menyuarakan pendapat anda berhubung artikel mama ini
bolehlah memberi komen diruang yang disediakan. Terima kasih dan salam
sayang untuk semua pelajar.
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pelajar.
Artikel pertama dalam ruangan ini berkaitan dengan menyemai fikiran positif dalam minda kita. Semua orang sedia maklum, setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai gelagat manusia. Umpamanya pelajar berhadapan dengan perangai rakan kelas, rakan kolej dan sebagainya. Tidak kurang juga berhadapan dengan pelbagai kerenah pensyarah yang adakalanya menggembirakan dan ada juga yang membuatkan diri mereka sangat stres dan kurang bermotivasi. Sesetengahnya membuatkan kita gembira bila berinteraksi namun ada juga yang mencabar kesabaran sehingga membuatkan kita rasa kurang senang dengan sikap segelintir dari mereka.
Lumrahnya manusia punyai pelbagai sikap dan perangai yang membentuk peribadi mereka. Secara fitrahnya tiap seorang dari kita tidak dapat lari daripada perasaan curiga, dengki dan irihati. Manusia jarang berpuas hati dengan apa yang mereka ada. Ini bertepatan dengan kajian Phd yang pernah dibuat di salah sebuah Universiti di San Fransisco pada tahun 1986 yang mengatakan lebih dari 80% fikiran manusia sebenarnya bersifat negatif. Selain itu, ungkapan “anda adalah apa yang anda fikirkan” mempunyai kaitan rapat dengan cara kita berfikir dan menangani apa juga masalah dalam kehidupan. Ia juga memperlihatkan kemampuan kita melihat masalah itu samada dari sudut positif atau negatif.
Adakalanya sesuatu perkara itu nampak kecil tetapi cara seseorang menterjemahkannya amat berbeza. Tidak hairan, dalam menangani sesuatu masalah, ada orang yang dapat menyelesaikannya dengan mudah dan baik apabila berfikiran positif , dan ada juga yang terpaksa menyelesaikannya dengan cara yang tidak bijak dan mengikut emosi atau negatif. Sikap positif bermaksud sikap yang baik dalam menangani sesuatu, samada masalah peribadi atau pekerjaan. Ia berkait rapat dengan perilaku baik yang sesuai dengan nilai-nilai dan norma-norma kehidupan yang berlaku dalam masyarakat. Umpamanya sifat bersabar, sentiasa memuhasabah diri, dan boleh bertolak ansur dalam banyak perkara. Mereka yang mempunyai sikap positif biasanya mempunyai peribadi yang mulia dan sentiasa bertaqwa pada Allah.
Islam anjur akhlak mulia
Dalam Islam kita disuruh mencontohi akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik. Iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. Malah Saidatina Aisyah r.a pernah ditanya berkaitan akhlak Rasulullah. Beliau menjawab, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran.
Sementara itu penulis dari German Karl Albrecht pula berpendapat berfikiran positif berkaitan dengan perhatian positif (positive attention) dan juga perkataan yang positif (positive verbalization). Perhatian positif bererti memberi perhatian kepada hal-hal yang berkaitan pengalaman-pengalaman yang positif, sebaliknya 'perkataan yang positif’ adalah merujuk pada penggunaan kata-kata ataupun ayat-ayat yang positif untuk meluahkan buah fikiran mereka. Ini akhirnya akan menghasilkan kesan yang positif pada fikiran dan perasaan.
Dalam dunia perubatan pula, sifat positif dan yakin dikatakan mempunyai kesan terhadap kesihatan kerana, ini kerana badan dan hormon bertindak balas jika kita berfikiran positif. Dalam kaitan yang sama stres dapat diuruskan dengan baik jika berfikiran positif dan sekaligus, dapat menyembuhkan pelbagai penyakit selain boleh mengharungi kehidupan dengan lebih bermakna.
Menyemai minda positif
Berfikiran positif sebenarnya boleh disemai dalam jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi. Ibubapa memainkan peranan penting membentuk sikap positif dalam jiwa anak-anak melalui perlakuan, perkataan dan sikap. Persekitaran dalam keluarga juga perlu harmoni dan menjurus ke arah positif. Ini kerana anak-anak selalu menjadikan ibu bapa mereka contoh atau `role model’. Jiwa positif membentuk peribadi mulia anak-anak seterusnya menjadikan mereka insan yang lebih terbuka dan dapat menerima kritikan dalam bentuk yang lebih positif dan membangun. Sebaliknya jika mereka dididik untuk berjiwa negatif sejak kecil lagi, dan jiwa mereka bersarang dengan rasa tidak puas hati, seterusnya pola pemikiran mereka juga akan menjurus kearah sesuatu yang lebih negatif apabila mereka dewasa.
Bagi orang dewasa pula berfikiran positif dapat mempermudahkan setiap aspek kehidupan. Umpamanya ditempat kerja. Dengan berfikiran positif, segala kerja dapat dilaksanakan dengan mudah dan lebih teratur serta berdisiplin. Kehidupan berkeluarga yang harmoni dan sejahtera juga dapat dijana melalui fikiran positif. Selain itu berfikiran positif mengelakkan mereka mendapat pelbagai penyakit yang ada kaitan dengan stres dan berfikiran negatif. Jika seseorang itu sentiasa berfikiran positif dia akan disenangi oleh ramai orang dan mereka ini sentiasa memudahkan kehidupan orang lain. Sebaliknya jika kita seorang yang sangat berfikiran negatif dan tidak boleh berlebih kurang, ramai yang tidak akan suka berurusan atau menjalin jaringan persahabatan dengan kita.
Justeru, kita boleh membina fikiran positif dengan berusaha menyemai sikap berlebih kurang, saling bantu membantu , berhati mulia dan sentiasa bersangka baik dengan orang lain. Tidak rugi mengamalkan sikap baik hati dan sentiasa positif. Kebaikan, berhati mulia dan berfikiran positif bukan sahaja dianjurkan oleh agama Islam sahaja malah semua agama didunia juga menyeru ke jalan kebaikan.
Natijahnya semuanya ini berkait rapat dengan soal hati dan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." Semoga kita semua memulakan buku baru dalam kehidupan kita dengan membuat kebaikan dan mengamalkan fikiran positif dalam hidup.
No comments:
Post a Comment