Majlis Anugerah Dekan Jun 2015

Ahli MASSA yang bertungkus-lumus menjadikan MAD kali ini satu kenyataan.
Malam tadi, 8 Jun 2015, MASSA menganjurkan Majlis Anugerah Dekan (MAD) Jun 2015 di Laman Kayangan, Seksyen 7. Sebagaimana yang dijanjikan, MAD kali ini telah berlangsung dengan suasana yang cukup meriah dan gilang-gemilang. Majlis ini berlangsung demi meraikan pencapaian cemerlang pelajar-pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Shah Alam dengan CGPA 3.5 ke atas.

Rata-rata hadirin menepati tema iaitu Addeen atau Islamik Moden. Suasana meriah mengiringi majlis dengan sajian makanan dan persembahan yang cukup menghiburkan daripada kumpulan nasyid FKPM, Bayati dan nyanyian solo Damia, pelajar Semester Dua, Penyiaran. Suasana juga menjadi redup dan tenang dengan alunan bacaan Al-Quran daripada Muhammad Fadhli Aiman sebagai pembuka majlis sebelum diakhiri dengan marhaban daripada anak-anak yatim yang dijemput khas.

Majlis pada malam itu telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya. Selain pelajar yang diraikan, malam itu turut menyaksikan kehadiran para pensyarah serta staf-staf FKPM. Justeru, tidak hairan malam itu telah menyemarakkan semangat kesepaduan dan kekitaan yang tinggi antara semua warga FKPM.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah daripada AJK tertinggi MASSA untuk semua penerima Anugerah Dekan yang diraikan. Semoga MAD kali ini memberi perangsang untuk anda semua lebih gigih untuk mencapai keputusan cemerlang dalam akademik seterusnya mengharumkan nama FKPM.

Kami menutup tirai MAD kali ini dengan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakannya, secara langsung mahupun tidak langsung. Sesungguhnya, yang sempurna itu hanyalah Dia, dan yang cela itu daripada kami jua. Justeru kami menyusun jari sepuluh jika ada terkurang di mana-mana sepanjang MAD berlangsung.

Sudahkah anda bersedia untuk MAD akan datang?

Lihatlah kemeriahan pada malam tadi!




 





























Hasif Hamsyari

No comments:

Post a Comment

Instagram