Malam Tautan Kasih November 2015



Pada 20 November bersamaan hari Jumaat yang lalu, MASSA meneruskan kesinambungan Malam Tautan Kasih (MTK) yang julung kalinya diadakan pada semester lalu. Masih mengekalkan tempat yang sama iaitu di Dataran Serbaguna Masscomm, majlis pada hari itu bermula seawal jam 8 malam dan berakhir kira-kira jam 11.30 malam. MTK kali ini mengambil tema Kesantunan Melayu.

Pengarah Projek, Muhammad Hasif bin Mohd Jelani, dalam ucapannya menjelaskan objektif majlis itu adalah untuk menyemai dan menghidupkan kembali semangat cinta akan budaya Melayu yang diperturunkan oleh orang-orang terdahulu. Selain itu, MTK juga sebenarnya bertujuan menyatukan kesemua pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) dalam satu majlis. Secara tidak langsung, ia bukan sahaja merapatkan hubungan pelajar sesama pelajar, bahkan pelajar bersama pensyarah.

Majlis yang penuh kemeriahan itu telah dirasmikan oleh Dekan FKPM, Prof. Dr. Azizul Halim Yahya. Dalam ucapan perasmiannya, beliau memuji usaha MASSA dan fakulti dalam menjayakan sebuah majlis yang menyatukan para pelajar dan pensyarah selain turut menghidupkan kembali budaya Melayu yang semakin dilupakan.

Turut hadir ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Jamaluddin bin Abdul Rashid dan Penasihat 1 MASSA, Puan Hariyati Ariffin.

Memulakan acara pada malam itu ialah persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid FKPM, Bayyati menyampaikan dua buah lagu.

Sementara itu, pertandingan persembahan kebudayaan juga telah diadakan. Pengadil yang dipertanggungjawabkan terdiri daripada Penasihat 2 MASSA, Encik Mohd Najmi Nuji, Timbalan Presiden MASSA, Encik Hairol Abd Rahim, Penasihat Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Encik Firdaus dan juga Timbalan Presiden SMF, Sharifah Syahirah Syed Shikh.

Melalui pertandingan itu, lapan kelas pelajar Semester 1 daripada kesemua jurusan berentap untuk merebut hadiah tempat pertama untuk pertandingan persembahan kebudayaan. Kesemua kelas mempamerkan persembahan yang memuaskan dan cukup menghiburkan.

Hasilnya, MC241 (Perhubungan Awam) muncul juara. MC243 (Penyiaran) dan MC247 (Komunikasi Antarapersonal) masing-masing berada di kedudukan kedua dan ketiga.

Selain pertandingan itu, satu sesi berbalas pantun juga telah diadakan yang membawa gamat bukan sahaja daripada peserta bahkan para penonton.

Sementara itu, Raja dan Permaisuri MTK November 2015 pula masing-masing menjadi milik Muhammad Adha bin Shahari dan Nadia Aniez binti Zulkarnain.

Menutup acara pada malam itu ialah persembahan daripada juara MTK terdahulu yang ternyata mengundang kemeriahan buat semua hadirin.

MASSA dengan ini mengucapkan terima kasih dan memohon maaf atas segala kekurangan kepada semua yang terlibat, secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan MTK pada kali ini. Semoga berjumpa dalam siri MTK seterusnya!

Lihatlah kemeriahan malam itu pada video dan gambar-gambar berikut!


Dari kiri ialah Muhammad Hasif bin Mohd Jelani (Pengarah Projek), Prof. Dr. Azizul Halim Yahya (Dekan FKPM), Prof. Jamaluddin Abd Rashid (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar) dan Puan Hariyati Ariffin (Penasihat 1 MASSA).

Kumpulan Bayyati membuka acara.

Persembahan kreatif pelajar Semester 1 yang mencuit hati.

Antara persembahan kebudayaan yang mendapat perhatian.

Wajah ceria wakil pemenang untuk persembahan terbaik.

Penerima gelaran Raja dan Permaisuri MTK pada kali ini.
Lebih banyak gambar, KLIK SINI.

Unknown

2 comments:

  1. Tahniah ....anda semua sangat kreatif Dan berbakat

    ReplyDelete
  2. Tahniah ....anda semua sangat kreatif Dan berbakat

    ReplyDelete

Instagram