Mama Masscomm: Bercinta sambil Belajar


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
 -------------------------------------------------

Bercinta adalah saat yang paling manis dalam fasa kehidupan seseorang remaja. Bila orang yang kita suka dan minat turut mencintai kita, itulah puncak kebahagiaan bagi mereka yang sedang dilamun cinta.  Perasaan gembira dan bahagia itu sangat sukar digambarkan. Bak kata orang dulu, `bagaikan tak jejak di tanah‘ hidup ini bagaikan di alam fantasi, semuanya indah. 

Bagaimana pun jika anda seorang pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti, apabila sudah bercinta anda mestilah bijak mengurus masa untuk cinta dan pelajaran. Ini kerana bercinta ketika masa belajar banyak memerlukan pengorbanan masa dan perasaan. Jika gagal mengawal diri dan tidak bijak mengurus masa ketika bercinta dan belajar, anda mungkin mengalami kegagalan dalam kedua-duanya. 

Biasanya orang yang dalam percintaan ini terlalu beremosi dan sensitif. Rasa cemburu dan curiga sering menghantui fikiran mereka sehingga ada ketikanya mereka tidak dapat, menumpukan perhatian pada pelajaran kerana terlalu mengikut emosi dan rasa curiga pada pasangan kekasih mereka.  Ada juga pasangan kekasih yang terlalu mengongkong pasangan sehingga menyebabkan banyak perkara tidak dapat dilakukan dengan baik ketika sedang belajar. Umpamanya tidak membenarkan pasangan buat pembelajaran secara berkumpulan (study group) sebab ada lelaki atau perempuan yang mereka curiga. Pasangan tidak boleh berkawan dengan orang lain tanpa mengetahuan mereka. Cemburu melampau juga akan membuatkan mereka yang bercinta sewaktu belajar ini mengalami tekanan perasaan kerana ingin seimbangkan rasa kasih sayang dan pelajaran.

TIPS BERCINTA KETIKA MASIH BELAJAR DI UNIVERSITI

Berikut adalah tips untuk pelajar yang sedang bercinta ketika masih belajar di universiti.
  1. Menjaga perhubungan dalam bercinta. Tahu batas-batas sebagai sepasang kekasih dalam agama. Jangan selalu berjumpa dan menghabiskan masa bersama ketika masih ada kuliah. Perjumpaan boleh dibuat sewaktu cuti semester. Kata orang tua “jauh dimata, dekat dihati”.

  2. Jika bercinta dengan rakan sekelas, elakkan terlalu rapat dengan pasangan.  Keakraban untuk bersama jangan terlalu menonjol sehingga nampak seperti belangkas. Hal ini mungkin membuatkan orang-orang sekeliling rasa kurang senang dengan sikap anda berdua. Misalnya dalam kelas duduk berdua, makan di kafe berdua, buat tugasan (assignments) berdua dan sebagainya.

  3. Jangan bercinta 24 jam. Beri masa untuk bercinta dan belajar. Urus masa dengan baik. Jangan terlalu kerap berborak walau di media sosial seperti Whats App atau berhubung melalui telefon dengan kekasih. Tak perlulah telefon bimbit di tangan 24 jam dan serba serbi nak repot pada kekasih. Adakan ruang untuk diri sendiri, bersahabat dengan orang lain dan jangan terlalu emosi sehingga membuatkan kawan-kawan menjauhkan diri.

  4. Sebagai pelajar universiti anda digalakkan menambah ilmu untuk menjadi seorang yang mempunyai sahsiah diri yang baik, berakhlak dan sentiasa menjaga batas percintaan dengan landasan agama sebagai benteng kepada perkara yang tidak baik ketika bercinta.

  5. Banyakkan membaca buku dan menghadiri majlis ilmu atau sesuatu yang berkaitan tentang perkahwinan dan rumahtangga. Jika bercinta, bermakna anda sedang mempersiapkan diri untuk menempuh alam perkahwinan dan kekeluargaan. Jangan ambil remeh untuk mempelajari ilmu rumahtangga kerana setiap percintaan akan diakhiri dengan ikatan perkahwinan yang akan membaja cinta anda dan pasangan hingga ke jannah. 

  6. Pilih kawan-kawan yang boleh memberi nasihat yang baik tentang cinta dan perhubungan dan bukan kawan-kawan yang boleh merosakkan minda anda dengan pandangan negatif terhadap percintaan dan berpasangan. Jika ada rakan-rakan yang mengajak anda berbuat satu kemungkaran sewaktu bercinta tinggalkan mereka. Jika anda tersilap langkah, sepanjang hidup anda akan kesali apa yang terjadi.

  7. Sentiasa bertanya dengan mereka yang berpengalaman tentang percintaan dan dapatkan nasihat mereka jika ada kemusykilan yang bersarang dalam diri anda. Jangan sorok atau diam jika ada masalah dalam percintaan. Perlu diingat, tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Setiap manusia tidak lari daripada berbuat kesilapan.

  8. Bagi wanita, jika anda sudah di peringkat universiti, ubah gaya bercinta anda. Tak perlu banyak mengada-ngada dengan pasangan atau merajuk 24 jam dan sebagainya. Anda bukan kanak-kanak lagi yang masih dalam peringkat cinta monyet. Anda perlu lebih dewasa dan tidak terlalu turutkan hati apabila bercinta.

  9. Bagi lelaki pula, walau di peringkat universiti tak perlu anda berlagak terlalu `gentleman’ atau budiman dan over macho di mana anda mesti nak tahu semuanya mengenai kekasih anda. Ke mana dia pergi, di mana kelasnya, siapa pensyarahnya dan siapa menelefon dan ditelefonnya dan sebagainya. Mungkin anda berfikir anda akan jadi suaminya dan dia mesti ikut kata anda kerana suami adalah pemimpin rumahtangga. Jika belum ada ikatan tak perlu tunjuk sikap prihatin anda sebab apabila sudah berkahwin banyak perkara boleh berubah.

  10. Akhir sekali, perlu diingat bercinta belum tentu berkahwin. Adakalanya bercinta bagaikan `nak rak’ dengan si A, tapi akhirnya berkahwin dengan orang lain.  Justeru, batas-batas pergaulan mesti dijaga waktu bercinta. Jika `bercouple’ itu bukan bermakna sudah menjadi hak anda. Jadi waktu bercinta, berpada-padalah dengan apa yang anda buat. Apa yang lebih penting sandarkan cinta anda pada Allah dan sentiasa berdoa agar Allah temukan anda dengan jodoh yang baik dan merestui perhubungan anda berdua.

Unknown

2 comments:

  1. Terima kasih mama.... artikel yang bagus... semoga ia memberi manfaat kepada semua pelajar...InsyaAllah...bercintalah tapi jagalah hati, jagalah iman dan jagalah batasan pergaulan... cinta itu indah... jagalah anugerah yang Allah berikan itu agar tidak dinodai dengan dosa dan maksiat...

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Yasmin yang sentiasa menjadi pembaca setia blog ni...

    ReplyDelete

Instagram