Mama Masscomm: Manusia Datang dan Pergi


OLEH: PUAN HARIYATI ARIFFIN
Seorang kolumnis dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
merangkap Penasihat MASSA. Disenangi pelajar Masscomm sebagai pensyarah berjiwa keibuan sehingga terkenal dengan sapaan 'Mama'. Beliau boleh dihubungi menerusi Facebook. Klik sini.
------------------------------------------------------------------------------------------
Kehidupan kita penuh dengan pelbagai kenangan dengan keluarga, rakan taulan dan mereka yang hadir dalam hidup kita tidak kira dalam waktu yang singkat ataupun untuk tempoh yang lama. Adakalanya mereka yang rapat dengan kita akan meninggalkan seribu satu memori untuk kita kenang sepanjang hayat dalam perjalanan hidup kita. Tahun berganti tahun, kita bertemu ramai orang yang mencorakkan hidup kita. Sejak dibangku sekolah kita mengutip pelbagai kenangan bersama rakan-rakan dan sahabat handai. Begitu juga sewaktu di universiti dan di tempat kerja, kita bukan sahaja mempelajari tentang survival sebuah kehidupan tetapi juga mengumpul segala kenangan suka duka bersama mereka.

Dalam mengharungi kehidupan ini, ada pelbagai kenangan yang kita simpan. Ada yang manis tidak kurang juga yang pahit dan menyedihkan. Paling sedih jika ada antara rakan dan taulan yang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya sewaktu kita masih memerlukan mereka dalam hidup kita. Namun hidup ini mesti diteruskan, walau apa pun terjadi kita perlu melangkah dengan yakin untuk terus mengumpul pengalaman seterusnya dan menjadikan diri kita lebih matang dan berilmu. Sebagai hamba Allah, masih banyak yang perlu kita lakukan untuk kesinambungan kehidupan ini.
Memetik ungkapan bahasa Inggeris ini “The language of friendship is not words but meanings” atau dalam bahasa Melayunya bermaksud, bahasa dari sebuah persahabatan itu bukan dari perkataan tapi dari maknanya. Dunia persahabatan dan cara kita bersosial membentuk peribadi kita. Ada yang menyenangi kita dan ada yang sukar menerima kita. Ia terpulang pada interpretasi dan terjemahan tentang persahabatan yang terjalin. Yang pastinya, kita memilih rakan dan kelompok sosial kita berdasarkan kesesuaian jiwa dan peribadi kita.

Setiap bulan dan setiap tahun kita berjumpa dengan ramai orang. Mereka ini datang dalam hidup kita dengan pelbagai tujuan, tugas dan tanggungjawab. Kita juga menggalas pelbagai peranan dalam hidup. Ada yang datang sekejap ada yang tinggal lama dalam kehidupan kita. Namun setiap pengalaman bersama mereka adalah sesuatu yang sangat berharga dalam hidup. Kita belajar untuk menjadi sabar, tabah dan mengenali peribadi dan sikap manusia yang kita hadapi setiap masa. Kita juga belajar mengenal hati dan perasaan mereka. Ada antaranya di awal persahabatan sangat baik dan boleh dipercayai tetapi apabila masa berlalu, mereka menunjukkan `sikap sebenar’ yang adakalanya tidak sejalan dan tidak sehaluan dengan kita. Masa menentukan banyak perkara, masa juga membuat kita mengenali siapa mereka.

Tapi harus diingat bahawa semua yang datang dalam hidup kita bersebab dan telah ditentukan Allah untuk kita. Seperti kata ungkapan ini “ people come into your life but for a reason”. Sangat besar makna tersirat di sebalik ayat yang nampak mudah itu. Sebagai manusia kita mesti menerima semua yang berlaku dalam hidup kita dengan fikiran yang positif dan minda yang terbuka. Jangan sedih jika ada yang terpaksa melangkah pergi dari hidup kita walau saat itu kita sangat memerlukan mereka. Tanpa kita sedari mereka sebenarnya telah meninggalkan sesuatu yang indah buat kita dan kita telah pelajari sesuatu daripada mereka sama ada baik atau sebaliknya. Jangan juga ada rasa kesal terhadap satu pertemuan, kerana atas pertemuan itu anda beroleh suatu pengalaman dan kenangan dalam hidup ini. 

Bagi saya pertemuan dan perpisahan adalah adat kehidupan yang pasti dilalui oleh setiap manusia. Ia umpama hidup dan mati. Apapun jangan risau, betapa ramaipun orang yang hadir dalam hidup kita, mereka yang memberi kesan dalam hidup akan terus abadi dalam memori kita. People come and go in your life but only the right and true friends will leave foot prints in your heart. Jadi teruskan perjalanan hidup ini dengan sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik terhadap apa juga yang berlaku. 

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester bermula 28 Disember ini kepada semua pelajar Masscom dan Pelajar UiTM secara amnya. Buat alumni exco MASSA terima kasih atas khidmat anda yang sangat cemerlang untuk tahun 2015. Diharap exco baharu yang dilantik bakal menyambung kecemerlangan exco lama dalam MASSA. Selamat tahun baru dan selamat maju jaya untuk semua.

Unknown

1 comment:

  1. Playtech casino app to enjoy huge Jackpot winnings in US
    › news › jackpot-win › 밀양 출장마사지 news › 안양 출장안마 jackpot-win Apr 1, 2021 — Apr 1, 2021 Playtech 강릉 출장샵 casino app to enjoy huge 보령 출장마사지 Jackpot winnings in US The US online gambling giant has 용인 출장샵 announced its plans to launch a brand-new casino app in the US.

    ReplyDelete

Instagram